Cawangan Perkhidmatan OKU Anjur Seminar Kanak-Kanak Berkeperluan Khas

Disiarkan pada 25 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Cawangan Perkhidmatan Orang Kurang Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah menganjurkan satu seminar iaitu Seminar Kanak-Kanak Berkeperluan Khas.

Penganjuran seminar yang julung kalinya ini telah melabuhkan tirainya pada Jumaat.

Objektif seminar ini diadakan bagi memupuk kesedaran orang awam, ibu bapa tentang kepentingan intervensi awal dengan memberikan perkhidmatan rawatan, pemulihan, bimbingan, dan khidmat nasihat kepada kanak-kanak.

Ia juga membolehkan ibu bapa mengetahui dan mengambil tindakan segera sebaik sahaja sesuatu kelewatan perkembangan dikesan atau dikenal pasti dalam proses pertumbuhan seorang kanak-kanak.

Difahamkan, penganjuran sulung seminar ini mendapat sambutan hangat dengan penyertaan seramai 300 orang peserta dari kalangan penyelia, petugas-petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), ibu bapa anak-anak berkeperluan khas, guru-guru pendidikan khas dan juga murid-murid berkeperluan khas dari sekitar Kuching, Samarahan dan Serian.

Turut diadakan sepanjang seminar ini ialah ceramah dan perkongsian yang diadakan dalam tempoh sehari semalam di samping 12 gerai yang mengambil bahagian dalam pelbagai pameran dan jualan. -EDISI UKAS