UKAS Tampil Pendekatan Baharu Pada 2025, Gerak Kerja Lebih Agresif & Dua Hala Dekati Rakyat

Disiarkan pada 25 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) beriltizam untuk melaksanakan gerak kerja yang lebih agresif pada tahun hadapan bagi memastikan kualiti penyampaian maklumat dua hala yang lebih efektif kepada rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, beberapa penstrukturan semula dalam struktur organisasi UKAS akan dilakukan pada tahun hadapan.

Menurutnya, pendekatan ini termasuk penambahan bahagian baharu yang dijangka dapat memperkukuhkan peranan UKAS dalam menyampaikan maklumat dengan lebih efisien dan tepat.

“Penstrukturan semula ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja UKAS.

“Pendekatan baharu ini selaras dengan misi kita untuk memastikan informasi kerajaan dapat disampaikan secara efektif kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Malam Apresiasi UKAS 2024 di Kuching pada Ahad.

Beliau menambah, strategi tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkasa UKAS sebagai platform utama komunikasi dua hala antara kerajaan negeri dan rakyat.

Melalui pendekatan ini katanya, jurang pemahaman antara Kerajaan Sarawak dan rakyat dapat dikurangkan.

“Gerak kerja kita untuk tahun 2025 tidak akan sama seperti biasa. Ia akan lebih rancak dan agresif dalam pelbagai aspek.

“Saya mengarahkan agar beberapa bahagian UKAS distruktur semula bagi memastikan prestasi kerja yang lebih cekap dan pantas,” tambah beliau.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut meraikan pencapaian UKAS sepanjang 2024 termasuk kejayaan dalam menguruskan bajet sebanyak 96 peratus, penghasilan 1,259 infografik dan melaksanakan 32 sesi penstriman langsung.

Menurut beliau, dari segi pengurusan media, UKAS telah mengendalikan 463 aktiviti yang melibatkan kerjasama strategik dengan organisasi media tempatan dan nasional.

Usaha ini jelasnya membuktikan komitmen UKAS untuk terus memperkukuh hubungan dengan pihak media.

Pada malam penghargaan itu, seramai 14 warga UKAS telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) atas prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2023.

Majlis itu juga menghargai jasa pesara yang telah menyumbang kepada kejayaan organisasi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS, Samuel Simon, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Helmy Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) (STATOB), Samat Junai, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Ali Suhaili serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS