UKAS Capai Pencapaian Cemerlang Sepanjang Tahun 2024

Disiarkan pada 25 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus melakar pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2024 dengan pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan media, program promosi dan penglibatan komuniti.

Pengarah UKAS Samuel Simon berkata, antara pencapaian yang direkodkan setakat Oktober tahin ini ialah penerbitan sebanyak 18,359 buletin UKAS, dengan platform TikTok mencapai 10.8 juta tontonan, manakala Facebook UKAS mencatatkan jangkauan sehingga 2.7 juta dengan followers seramai 243,738.

Menurutnya, antara pencapaian lain ialah penghasilan 1,259 infografik, dan 32 sesi penstriman langsung.

Selain itu katanya, video teaser yang diterbitkan mencatatkan jangkauan sebanyak 2.3 juta, sebanyak 37 papan iklan dipasang, manakala 16 kursus latihan dijalankan.

Katanya lagi, dalam aspek dokumentasi, UKAS telah mengumpulkan 3,448 keratan akhbar, menghasilkan 195 montaj video, dan menguruskan 1,584 isu berkaitan.

Ujar beliau, acara penting lain termasuk 18 sesi Juh Randau dan pelaksanaan 34 laporan lapangan.

Dari segi pengurusan media, UKAS katanya telah melaksanakan 463 aktiviti melibatkan media, membuktikan komitmen mereka dalam mengukuhkan hubungan strategik dengan organisasi media tempatan dan nasional.

"Tahun 2024 turut menyaksikan penglibatan aktif UKAS dalam acara besar seperti Sarawak Media Conference 2024 bersama AZAM Sarawak, HAWANA 2024 dengan kerjasama BERNAMA serta SUKMA dan Para SUKMA ke-21.

"Sebagai peneraju Jawatankuasa Publisiti, Promosi, dan Media, UKAS berganding bahu dengan rakan media seperti TVS, RTM, Bernama, FINAS, Astro Awani, dan lain-lain.

“Kejayaan kita menjadi juara dalam kedua-dua acara sukan ini membuktikan kerjasama dan komitmen luar biasa semua pihak.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Abdullah dan Yang Berbahagia Datu Hii atas bimbingan dan sokongan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Apresiasi UKAS 2024 di sini pada Ahad.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Dalam majlis yang sama, turut diraikan penerima anugerah perkhidmatan cemerlang 2023 sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada kejayaan UKAS.

Ia termasuk pertandingan fotografi dan penulisan artikel bersempena dengan SUKMA ke-21 Sarawak 2024.

Antara pemenangnya ialah Muhammad Rais Sanusi bagi kategori fotografi, naib johan dimenangi Mohamad Faitullah Morni dan
tempat ketiga disandang Mohmad Nahari Nahar.

Manakala untuk kategori penulisan artikel pula dijuarai oleh Agnes Tugong, naib johan disandang oleh Jude Peter Toyat dan tempat
ketiga dimenangi Mohammad Roji Abdullah.

Kedua-dua kategori itu menerima hadiah berupa sijil dan wang tunai.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak Helmy Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) (STATOB), Samat Junai, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Ali Suhaili serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS