SEBAUH: Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Bahagian Bintulu telah berjaya dilaksanakan di Uma Jaya Paren, Hungei Ayu, Tubau, Sebauh pada Sabtu dengan matlamat meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penduduk luar bandar.
Anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Bahagian Bintulu, kempen ini memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi yang menjadi laluan utama kenderaan berat seperti lori sawit, lori balak, dan jentera berat.
Langkah ini diharapkan dapat mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon dan disertai Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Datu Nyurak Keti.
Menurut Datu Nyurak Keti, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dengan kerjasama masyarakat dan agensi dapat mengurangkan kemalangan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Aktiviti kempen melibatkan pengedaran topi keledar dan cenderahati kepada pengguna jalan raya, diiringi peringatan untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
Penduduk tempatan menyambut baik inisiatif ini, dan pihak penganjur berharap kempen seumpama ini dapat diteruskan untuk memastikan tahap keselamatan jalan raya yang lebih baik di kawasan pedalaman.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sebauh Thadeus Ling Allu, serta wakil agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Anggota Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) serta ketua-ketua masyarakat.-EDISI UKAS