Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) Kukuhkan Keharmonian Sosial Dalam Komuniti

Disiarkan pada 25 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas



TUBAU: Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) yang dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Pejabat Daerah Sebauh, serta JKKK dan KRT tempatan telah melabuhkan tirainya pada Sabtu di Uma Jaya Paran, Hungei Ayu, Long Pelisit, Tubau.

Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Agon.

Beliau dalam ucapan ringkasnya menekankan kepentingan perpaduan dan solidariti sebagai teras kestabilan ekonomi, sosial, dan politik dalam masyarakat majmuk seperti Sarawak.

“Melalui aktiviti solidariti komuniti seperti perkongsian bersama agensi, Forum Solidariti, dan Sukan Solidariti Komuniti yang telah dilaksanakan, saya percaya para peserta sudah dapat menghayati akan nilai dan kepentingan hubungan baik agar hubungan berkualiti dapat ditingkatkan tanpa mengira jantina, peringkat umur, etnik dan agama.

“Melalui hubungan berkualiti, mudah untuk kita mencapai kebersamaan bagi mengukuhkan keharmonian sosial dalam komuniti kita di Daerah Sebauh ini.

“Apabila kesefahaman dan kebersamaan sudah menjadi satu budaya, maka lebih mudah untuk kita menangani isu dan cabaran sosial yang dihadapi secara bersepadu,”ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) di Sebauh pada Sabtu.

Program yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat ini berjaya memupuk kesedaran terhadap nilai hubungan baik melalui aktiviti seperti forum, perkongsian bersama agensi, dan sukan komuniti.

Inisiatif ini turut mengukuhkan semangat kebersamaan (shared understanding) dalam kalangan peserta, demi mencapai keharmonian sosial dan menangani cabaran komuniti secara kolektif.

Program Randau Solidariti Komuniti ini juga diharap menjadi titik tolak kepada kesejahteraan dan perpaduan yang lebih utuh di Daerah Sebauh serta menyumbang kepada pembangunan sosial yang mampan di negeri Sarawak.-EDISI UKAS