Pelajar DLP Sarawak Bakal Duduki Pentaksiran Standard

Disiarkan pada 25 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Semua pelajar Program Dwi Bahasa (DLP) Sarawak Tahun 6 dan pelajar Tingkatan 3, akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Standard untuk menilai potensi mereka bermula tahun depan dan 2028.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, berkata kementerian sedia berbincang dengan sekolah bukan DLP yang berminat untuk melaksanakan peperiksaan ini, yang akan dijalankan pada September atau Oktober 2025 untuk kohort pertama Tahun 6.

“Ada beberapa sekolah lain yang bukan di bawah DLP tapi kemungkinan mereka ingin cuba menduduki peperiksaan tersebut. Ada juga sekolah swasta yang bertanya untuk membenarkan mereka menduduki ujian tersebut maka itu kita boleh bincang kerana kita belum ada keputusan itu lagi.

“Tetapi (ujian Pentaksiran Standard) ini hanyalah untuk Sekolah Kebangsaan di mana pelajar-pelajar sekarang ini di bawah skim DLP,” katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Jangkauan Luar MLNG Bestari 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya, Sibu pada Sabtu.

Datuk Dr Annuar berkata, melalui penilaian khas Pentaksiran Standard, prestasi pelajar dan sekolah di Sarawak dapat dinilai, dan sekolah dengan prestasi rendah akan dibantu.

Peperiksaan ini akan dikendalikan oleh Cambridge University Press and Assessment, yang diiktiraf antarabangsa.

Pelajar Tahun 6 yang berjaya dalam peperiksaan ini boleh mengikuti ujian kemasukan ke Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSIS).

Beliau juga menyatakan bahawa perbincangan terperinci mengenai pelaksanaan Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP) akan diadakan dengan pengetua sekolah untuk memastikan kejayaannya.

"Saya dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan SEEP ini dan saya ingin melihat SEEP ini betul-betul memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang lemah. Bukan kita tidak mempertimbangkan pelajar-pelajar yang telah baik dalam bidang mereka tapi boleh juga dinilai, tapi fokus kita pada mereka yang lemah," ujarnya.

Tambahnya, bermula tahun hadapan setiap pelajar yang menyertai SEEP akan dipantau dan diberikan kad pelajar untuk memastikan kehadiran mereka. -EDISI UKAS