KUCHING: Kedudukan kewangan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) masih kukuh hasil daripada bayaran balik dividen pelaburan dan sewa aset pertubuhan berkenaan.
Presiden SABERKAS yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedudukan kewangan kukuh ini membolehkan SABERKAS memperuntukkan RM1.7 juta dari dana pertubuhan sendiri kepada semua cawangan SABERKAS seluruh Sarawak.
“SABERKAS pusat sebelum ini telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM21,000 untuk setiap cawangan SABERKAS untuk mereka menjalankan aktiviti.
“Duit tersebut adalah hasil daripada usaha SABERKAS sendiri iaitu hasil sewa aset dan juga daripada dividen yang kita dapat daripada pelaburan kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Negeri Sarawak Ke-58 di sini pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim menambah, SABERKAS kini telah mempunyai sebanyak 82 cawangan di seluruh Sarawak, peningkatan daripada lebih 40 cawangan sahaja sebelum ini.
Selain daripada dana RM1.7 juta hasil usaha pertubuhan ini sendiri, SABERKAS turut menerima suntikan sebanyak RM650,000 daripada Kerajaan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pertubuhan berkenaan telah berjaya menganjurkan 272 program melibatkan penganjuran di peringkat unit, cawangan dan peringkat negeri.
“Daripada jumlah ini, 208 program adalah anjuran SABERKAS sendiri dan 64 lagi merupakan anjuran bersama dengan rakan strategik seperti Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi perbankan dan banyak lagi,” jelasnya lagi.
Sehingga hari ini, SABERKAS mempunyai seramai 55,694 orang ahli di seluruh Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Persekutuan-Negeri) merangkap Naib Presiden SABERKAS Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Agung SABERKAS Safiee Ahmad dan Ahli Majlis Tertinggi SABERKAS. -EDISI UKAS