Kerajaan Sarawak Beri Keutamaan Kepada Bidang Pendidikan

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak melihat bidang pendidikan sebagai satu bidang keutamaan yang penting.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ke arah kerajaan negeri telah mewujudkan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) untuk menjadi perantara dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani isu pendidikan di Sarawak.

“Oleh sebab itu di peringkat negeri, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan MEITD yang akan menjadi perantara dalam menangani isu pendidikan di Sarawak.

“Cabaran besar yang harus ditangani secara bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam bidang pendidikan masa kini ialah isu kekurangan guru dan isu fasiliti seperti sekolah daif. 

“Oleh sebab itu, pendidikan menjadi cabaran besar buat kita dan menjadikan satu agenda penting dalam MA63. Pemberian kuasa pentadbiran untuk sektor pendidikan merupakan focus utama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Sekretariat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Yayasan Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis. 


Dato Sri Fadillah menambah, Sabah dan Sarawak menghadapi cabaran dalam sektor pendidikan kerana perancangan melibatkan sektor itu dilaksanakan di Putrajaya khususnya isu pengambilan atau penempatan guru di Sarawak. 

“Kebanyakan kekosongan itu diisi oleh calon yang tidak mahu bertugas di Sarawak kerana memikirkan kawasan pedalaman, menyebabkan tiada pegawai untuk berkhidmat di Sarawak. 

“Dalam hal ini, dalam konteks kuasa pentadbiran dalam pendidikan diberikan kepada kita dan kita dapat menentukan agar jawatan kosong berkenaan dapat diisi dan calon dapat bertugas di Sarawak,” tambahnya. 

Difahamkan, Seramai 110 pelajar Sarawak di bawah Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak turut menghadiri majlis tersebut.

Dalam pada itu, Yayasan Sarawak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan MLNG Petronas untuk memperkasakan lagi program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli. -EDISI UKAS