KUCHING: Peruntukan RM100 bilion yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari, semasa pelancaran Laporan Tahunan PCDS 2030 akan memberi manfaat besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, memberi jaminan dana tersebut akan digunakan untuk memperkukuh sektor pelancongan, dengan Sarawak telah melepasi sasaran empat juta pelawat untuk tahun 2024 seawal November.
“Alhamdulillah, dengan peruntukan RM100 bilion daripada Premier Sarawak, ini bukan sahaja akan merancakkan ekonomi Sarawak dan mendorong pembangunan negeri, tetapi turut membawa manfaat tidak langsung kepada industri pelancongan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan acara Pristine Seas: Bringing Back The Ocean di Muzium Budaya Borneo pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim menjelaskan bahawa pelaburan RM100 bilion ini menunjukkan komitmen kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, sambil memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Beliau juga menegaskan tiada sektor yang akan diabaikan, dengan semua bidang, termasuk teater, seni persembahan, dan kesusasteraan, akan mendapat peruntukan untuk memperkasa industri kreatif dan kebudayaan negeri. -EDISI UKAS