Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Serta Isteri Hadiri Forum Perdana Ehwal Islam

Disiarkan pada 26 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi telah menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam yang diadakan di Masjid Jamek Negeri Sarawak pada Khamis.

Forum Perdana Ehwal Islam yang membawa tajuk 'Berdiri Sama Tinggi, Duduk Sama Rendah' itu membicarakan tentang isu pendidikan Islam di Malaysia.

Ia merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sempena Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam (JPPIK) Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-60

Kehadiran lebih 1,000 muslimin dan muslimat dari seluruh Sarawak turut menyaksikan forum yang berlangsung selama satu jam bersiaran secara langsung di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Forum tersebut menampilkan Ustaz Hariri Daud dari JAKIM sebagai moderator bersama tiga panel iaitu Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Dato Alimuddin Mohd Dom dan pensyarah di Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dato' Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hassan, Ketua Pengarah JAKIM Datin Paduka Hakimah Mohd Yussoff, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Sahibus Siyadah Mual Suaud. -EDISI UKAS