MUT Lancar Kempen Perangi Vandalisme

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) akan melancarkan Kempen Mencegah Vandalisme secara besar-besaran dalam usaha memerangi tindakan tidak bertanggungjawab itu.
 
Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kempen tersebut merupakan usaha MUT dalam membendung kegiatan vandalisme ke atas aset utiliti dan telekomunikasi di Sarawak.
 
Tegas beliau, kegiatan vandalisme menunjukkan peningkatan ketara antara 2022 dan 2023 dengan kerugian ditanggung mencecah jutaan ringgit.
 
"Pada tahun 2022, sebanyak 521 kes vandalisme direkodkan melibatkan aset telekomunkasi, belakan elektrik, air dan edaran gas dengan jumlah kerugian RM3,763,606.
 
"Manakala pada 2023, sebanyak 1,406 kes vandalisme direkodkan melibatkan aset telekomunikasi, bekalan elektrik, air dan edaran gas dengan jumlah kerugian RM19,673,977," ujarnya.
 
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Menara LCDA di sini pada Khamis.
 
Dato Sri Julaihi menambah, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 45 kes vandalisme direkodkan berbanding 27 kes pada tempoh sama 2023.
 
Jelasnya, bahagian Kuching merekodkan kes vandalisme tertinggi, selain Bintulu dan Miri.
 
"Jadi sebab itulah kita berharap kita dapat mengurangkan kes ini melalui kempen secara besar-besaran dan diikuti dengan kempen berterusan yang akan diadakan di seluruh Sarawak selepas ianya dilancarkan kelak," tambah beliau lagi.
 
Hadir sama dalam sidang media berkenaan ialah, Timbalan Menterinya, (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Tetap MUT Jafri Lias serta pegawai kerajaan lain. -EDISI UKAS