SRI AMAN: Penganjuran program ‘Belia Talk’ sempena Karnival Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga baru-baru ini telah menjadi platform penting dalam memberi inspirasi kepada belia untuk terus maju dan mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan.
Program ini berjaya menarik kehadiran seramai 250 orang belia dari pelbagai kawasan sekitar Bandar Sri Aman.
Acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman pada Jumaat itu menampilkan beberapa panel jemputan yang berpengalaman, antaranya mantan Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial, Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah, dan Pegawai Psikologi Kaunseling Klinik Kesihatan Lubok Antu, Sean Chris Nanang.
Mereka berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai isu-isu sosial dalam kalangan belia serta cabaran perkahwinan pada usia muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, turut hadir dan meluangkan masa bersama para belia. Menurut beliau, kehadiran belia dalam program ini membuktikan betapa pentingnya platform seperti ‘Belia Talk’ untuk memberi inspirasi kepada belia untuk terus berkembang dan bersedia menghadapi masa depan.
Selain ceramah dan sesi perkongsian ilmu, Karnival Belia DUN Lingga turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang direka khas untuk menarik penyertaan belia serta pembangunan masyarakat.
Dengan penganjuran program seperti ini, diharapkan para belia dapat lebih berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan negara.-EDISI UKAS