100 Penolong Pegawai Perubatan Meriahkan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Sarawak 2024

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Seramai 100 orang Penolong Pegawai Perubatan yang berkhidmat di dalam atau di luar Sarawak telah hadir memeriahkan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Pustaka Negeri Sarawak, Miri pada Rabu. 

Sambutan Hari Pembantu Perubatan yang bertemakan “Bakti mulia, masyarakat sejahtera aspirasi Malaysia Madani” telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin. 

Tema ini bermaksud untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang mulia kepada masyarakat demi mencapai kesejahteraan bersama dan sejajar dengan cita-cita untuk membina sebuah masyarakat yang madani, progresif, dan sejahtera di Malaysia terutamanya di Sarawak.

Sempena sambutan ini, Cawangan Perkhidmatan Penolong Pegawai Perubatan Negeri Sarawak telah berkerjasama dengan Kesatuan Pembantu Perubatan Sarawak (SUMA) dan Persatuan Penolong Pegawai Perubatan Sarawak (SAMOA) bagi menarik minat dan memberi peluang kepada semua Penolong Pegawai Perubatan di seluruh Sarawak untuk memeriahkan sambutan ini. 

Selain itu, Seminar Penolong Pegawai Perubatan 2024 Peringkat Sarawak juga turut diadakan sepanjang sambutan ini.

Seminar ini bertujuan untuk memberikan pengalaman dan peluang kepada Penolong Pegawai Perubatan di Sarawak untuk menambah pengetahuan dalam bidang pengurusan klinikal dan seterusnya menyampaikan mutu serta kualiti perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada masyarakat di Sarawak yang sejajar dengan objektif sambutan pada tahun ini.

Antara agensi lain yang hadir ialah Jabatan Penjara, Pusat Tahanan Sementara, Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN), Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan Malaysia serta Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas di hospital-hospital dan klinik-klinik swasta di Sarawak.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Perubatan) Dr. Azlee Bin Ayub, Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri Sarawak Siman Entol, Pengerusi Majlis Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Sarawak bagi tahun 2024 Stewart Bunchuan,  Ketua Sektor Pembangunan Kesihatan Keluarga Bahagian Miri Dr Noor Izni Binti Mohamed Shapie, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu, Presiden Persatuan Penolong Pegawai Perubatan Sarawak Beti Inka dan Presiden Kesatuan Pembantu Perubatan Sarawak Maurice Medan Celestine Anjan.-EDISI UKAS