Lima Usahawan Pertanian Buat Lawatan Sambil Belajar Ke Ladang Roselle Di Negeri Sembilan

Disiarkan pada 22 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Lima usahawan pertanian dari Sarawak diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah, Unit Komunikasi Awam Sarawak Dr. Charlie Dudang telah membuat lawatan sambil belajar ke ladang roselle atau nama saintifiknya hibiscus sabdariffa di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Kehadiran mereka di Wisma NESQ Resources (M) Sdn Bhd di Kawasan Industri Andalas disambut dengan mesra oleh pegawai NESQ yang kemudiannya diberi taklimat lebih-kurang satu jam oleh Pengarah Urusan NESQ Zamri Abu mengenai segala urusan, operasi dan produk keluaran mereka.

Seterusnya, kumpulan lawatan itu telah dibawa ke Projek Kerjasama Ladang Buah Roselle di Mantin menggunakan pacuan empat roda yang mempunyai keluasan lebih-kurang 20 ekar yang diusaha sama dengan NESQ.

Mereka telah disambut oleh Pengurus Ladang QV Agro Marketing Sdn Bhd C.K. Lee serta berberapa orang pegawai dari NESQ dan diberi taklimat oleh Lee tentang pengurusan ladang termasuk benih, penyemaian, jarak penanaman, tanah dan baja organik yang sesuai, penjagaan penyakit, penuaian dan pasaran roselle.

Pada sebelah petang pula, para peserta di bawa melawat ke kilang pemprosesan buah roselle di Kampung Lada, Rembau di mana mereka disambut oleh Pengurus Kilang Aina Olley dan semua pegawai yang bertugas.

Mereka diberi taklimat oleh Aina Olley tentang cara pemprosesan buah roselle bermula daripada mencuci dengan air paip dan garam, dimasak selama 8 jam dan kemudian dikeringkan dengan oven pengering dengan suhu 800 Celsus selama 4 ke 5 jam.

Dalam pada itu, salah seorang peserta, William Baja Jap menyifatkan lawatan mereka ke ladang dan kilang roselle sangat berinfomasi dan berharap dapat bekerjasama dengan NESQ Resources (M) Sdn Bhd dari segi pembelian dan pemasaran.

“Sebab di Sarawak masih banyak tanah yang boleh diusahakan untuk menanam roselle. Walaupun jangka hayat ekonomi roselle di antara enam ke 10 bulan tetapi ianya menghasilan pendapatan RM30,000 satu hektar,” katanya.

Beliau berharap, sekiranya penanam roselle ini boleh diperkembangkan di Sarawak, pihak pengurusan NESQ boleh membuka kilang pemproses roselle di berberapa Bahagian yang boleh menanam dan menghasilkan lebih daripada 500 tan dalam satu musim.

William Baja juga berharap agar Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian dapat menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh pengusaha yang berminat. -EDISI UKAS