Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Tabung Amanah Bakun

Disiarkan pada 22 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menerima kunjungan hormat daripada Ahli Lembaga Tabung Amanah Bakun di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.

Delegasi Lembaga Tabung Amanah Bakun telah diketuai oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang.

Ketika ditemui media, kehadiran delegasi bagi mendapatkan dana untuk tabung mereka yang kini semakin berkurangan setelah hanya mendapat dana RM10 juta ketika penubuhan Tabung Amanah Bakun pada 27 tahun lepas iaitu pada tahun 1997.

Ujarnya, dana ini yang digunakan untuk memberi biasiswa kepada pelajar secara 'one-off' hanya dapat menampung untuk tujuh tahun sahaja lagi dengan RM6 juta dana yang tinggal dengan RM 4 juta dalam bentuk aset dan RM2 juta dalam bentuk kewangan.

"Justeru, pertemuan ini bersama Premier Sarawak bagi mendapatkan nasihat, memohon dana dan telah menyerahkan surat permohonan.

"Kami minta agar Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menyalurkan dana sebagai salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Tabung Amanah Bakun termasuk kepada penduduk di Murum yang akan disalurkan melalui tabung ini," jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga itu memberitahu, pihaknya telah memohon dana sebanyak RM1 juta untuk penduduk di Bakun dan RM1 juta untuk penduduk di Murum yang akan disalurkan secara tahunan.

Jelasnya, dana ini kelak juga untuk bukan sahaja kepada pelajar tetapi kepada penduduk di dua kawasan tersebut bagi kegunaan bantuan dan sebagainya.

Turut hadir, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon.

Terdahulu, Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) telah menyerahkan Wakalah Zakat berjumlah RM100,000 sebagai wakalah agihan dari zakat perniagaan bagi tahun 2023.

AHB telah diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Damshal Awang Damit telah menyerahkan zakat tersebut kepada pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang diwakili oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.

Hadir pada sesi penyerahan, Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Timbalan Pengurus Besar AHB Nadia Edmaz Abdul Hadi dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Asset Management Zulkifli Ishak. -EDISI UKAS