KUCHING: Pelajar-pelajar Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia menyambut baik inisiatif bantuan wang saku yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan pelajar pada 2025, yang mana setiap pelajar akan menerima wang saku sebanyak RM1,200 tanpa mengira tahap pendapatan keluarga mereka.
Seorang pelajar di Kolej Universiti ICATS, Dellnish Wan Ullis meluahkan rasa syukur dan gembira atas bantuan yang diterima, kerana ia dapat membantu mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi pelajar, terutama yang jauh dari keluarga dan menghadapi kos hidup yang tinggi.
Dellnish turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas pemberian komputer riba percuma, yang dapat meringankan lagi beban ibu bapa mereka.
"Kami amat berterima kasih dan berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk membanggakan Sarawak, kerana pelbagai sumbangan yang telah diberikan kepada kami,"katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar di IPT yang sama, Elviana Orai, turut berkongsi rasa teruja dengan inisiatif tersebut.
Baginya, bantuan kewangan seperti ini memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian, yang sebelum ini mungkin terhalang disebabkan kekurangan wang.
"Dengan adanya bantuan ini, semangat untuk kami belajar semestinya semakin tinggi. Bagi saya, saya akan menggunakannya untuk membayar yuran asrama dan perbelanjaan harian sepanjang pengajian,"jelas Elviana.
Seramai 60 pelajar IPT yang terdiri daripada Unimas dan ICATS telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.
Semasa lawatan, para pelajar berpeluang menyaksikan secara langsung penggulungan yang disampaikan oleh Premier Sarawak pada hari terakhir Persidangan DUN Sarawak Ke-19. -EDISI UKAS