Sarawak Pertimbang Cadangan Lanjutkan Tempoh Persidangan DUN

Disiarkan pada 21 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan tempoh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan lebih banyak masa kepada Ahli-Ahli Dewan untuk membincangkan perkara penting.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, permintaan tersebut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong yang menekankan keperluan perbincangan lebih mendalam mengenai isu-isu utama.

“Tahun lepas, kita menerima permintaan untuk elaun tambahan.

“Tetapi kali ini, kita sedang meneliti kemungkinan untuk melanjutkan tempoh persidangan bagi Ahli-Ahli Dewan?dan saya serahkan kepada Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar untuk meneliti perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Backbenchers Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sebuah hotel terkemuka di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari yang juga Pengerusi GPS turut memuji sikap profesionalisme yang ditunjukkan oleh semua Ahli Dewan sepanjang persidangan DUN kali ini.

Walaupun masa yang terhad, beliau menyatakan bahawa setiap mereka menunjukkan kebolehan tinggi dalam menguruskan masa dengan berkesan.

“Kita mengadakan sesi yang serius dan konstruktif, tidak seperti di tempat lain di mana kekecohan sering berlaku,” tambahnya.

Beliau juga menghargai kejayaan sesi tersebut yang didorong oleh kepatuhan kepada peraturan mesyuarat dan bimbingan Speaker DUN Sarawak, termasuk pindaan yang dilakukan untuk memperbaiki susunan dan kesantunan dalam dewan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Sarawak, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis GPS Backbenchers Night merangkap ADUN Machan, Allan Siden Gramong serta para ADUN yang lain.-Edisi UKAS