Sarawak Sasar Hasilkan 240,000 Tan Hidrogen Hijau Setiap Tahun

Disiarkan pada 21 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sarawak telah menetapkan sasaran untuk menghasilkan 240,000 tan hidrogen hijau setiap tahun menjelang 2028.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini merupakan sebahagian daripada strategi Sarawak untuk memanfaatkan potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, sejajar dengan perkembangan pesat pasaran tersebut di peringkat global.

"Projek-projek berkenaan dijangka akan meningkatkan ekonomi Sarawak dengan menyumbang antara RM2.5 bilion hingga RM3.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak setiap tahun.

"Ia juga dijangka dapat mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi berbanding gaji semasa, hampir empat kali ganda lebih besar, selaras dengan matlamat pembangunan ekonomi dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.-EDISI UKAS