Sarawak Perkukuh Kerjasama Dengan Wilayah Wielkopolska

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


POZNAN: Sarawak mengorak langkah ke arah pengukuhan kerjasama bersama wilayah Wielkopolska di Poland dalam memastikan kemampanan bumi ini. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengukuhan kerjasama dan hubungan bagi kedua-dua pihak boleh dimulai dengan program pertukaran pelajar antara universiti di Wielkopolska dan Sarawak.

"Usaha ini adalah untuk mewujudkan persefahaman yang lebih baik antara penduduk kedua-dua kawasan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan makan malam sebagai penghargaan kepada Marshal Wilayah Wielkopolska, Marek Wozniak di sini pada Khamis.

Terdahulu, Marek telah menjemput Datuk Patinggi Abang Zohari untuk mengambil bahagian dalam Forum Hidrogen Eropah Tengah Kali Ke-3 sebagai penceramah panel sekaligus mengiktiraf usaha Sarawak ke arah kemampanan alam sekitar di mata dunia.

Dalam kesempatan itu juga, Premier Sarawak menjemput Marek untuk melawat Sarawak bukan sahaja untuk menghadiri persidangan tetapi untuk mengenali Sarawak dan insiatif dan aspirasi tenaga hijau di wilayah ini dengan lebih baik.

Antara kongres terdekat melibatkan Sarawak sebagai tuan rumah persidangan dunia ialah Kongres dan Pameran Air Dunia Antarabangsa pada 2028. 

Sementara itu, Marek menzahirkan rasa hormat atas pendirian Sarawak yang berdiri sama tinggi dengan negara-negara Eropah yang lain dalam mengambil berat tentang perubahan iklim dunia.

Justeru, beliau berharap agar komitmen ini diteruskan bersama negara-negara Eropah yang lain untuk mengurangkan perubahan iklim dunia yang semakin membimbangkan.

Hadir sama, isteri kepada Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Duta Besar Malaysia ke Poland Dato Chitra Devi Ramiah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzaruddin Abdul Rahman serta delegasi kerajaan negeri. -EDISI UKAS