KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji pokok kepada penjawat awam negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, pemberian BKK akan mengikut gaji pokok terakhir bulan November 2024 dan akan dibayar pada Disember 2024.
Sementara itu, Premier Sarawak turut mengumumkan penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak juga menerima BKK sebanyak RM700 secara 'one off' yang akan dibayar pada suku pertama tahun 2025.
"Jumlah keseluruhan implikasi kewangan bagi Perkhidmatan Awam Sarawak dan Perkhidmatan Awam Persekutuan insentif BKK adalah dianggarkan sebanyak RM190 juta," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan pada hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Katanya, pemberian ini sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen anggota Perkhidmatan Awam Sarawak. -EDISI UKAS