Sarawak Pengeluar & Pengeksport Pelet Biojisim Rumput Napier Berskala Besar Pertama Dunia

Posted on 21 Nov 2024
Source of News: Ukas


KUCHING: Sarawak kini menjadi pengeluar dan pengeksport pelet biojisim rumput Napier berskala besar pertama di dunia.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pencapaian ini sejajar dengan galakan beliau agar syarikat-syarikat tempatan meneroka peluang dalam industri tenaga biojisim.

Ini susulan lawatan beliau ke Stesen Janakuasa Drax di United Kingdom (UK) awal tahun ini, di mana stesen janakuasa yang dahulunya menggunakan arang batu itu kini beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga biojisim.

“Hari ini, saya berbangga untuk memaklumkan bahawa Sarawak kini menjadi rumah kepada pengeluar dan pengeksport pelet biojisim rumput Napier berskala besar pertama di dunia.

“Apa yang lebih membanggakan ialah kita sudah menjual pelet ini kepada Drax, stesen janakuasa yang telah saya lawati!” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Rumput Napier, yang tumbuh dengan pantas dan hanya memerlukan penanaman semula yang minima, mempunyai kegunaan yang melebihi sektor tenaga.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, antara kegunaannya termasuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), baja dan makanan haiwan sekali gus mempromosikan ekonomi kitaran serta meningkatkan keselamatan makanan dan tenaga.

Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak mesti berani untuk melihat lebih jauh daripada sasaran tahun 2030 buat tenaga boleh diperbaharui kerana ia bukan penamat tetapi satu lagi perjalanan dalam visi yang lebih besar.

“Sarawak sedang meneroka penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang inovatif seperti Sistem Tenaga Laut yang memanfaatkan tenaga pasang surut, gelombang dan haba lautan.

“Teknologi canggih, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), ‘Building Information Modelling’ (BIM) dan ‘Digital Twin’ juga digunakan untuk mengoptimumkan perancangan tenaga dan pembangunan infrastruktur,” jelasnya. -EDISI UKAS