Hak Pelantar Benua Mutlak, Tidak Tertakluk Kepada Sebarang Pemindahan & Rundingan

Disiarkan pada 21 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Hak pelantar benua yang berada di dalam kawasan perairan Sarawak adalah hak mutlak wilayah ini dan tidak tertakluk kepada sebarang pemindahan dan rundingan untuk menukarkan haknya kepada Kerajaan Persekutuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa perkara ini telah tertakluk di bawah Kanun Tanah 1958 yang mana jelas mengatakan dasar laut dan lapisan bawah tanah Sarawak menjadi milik Kerajaan Sarawak walaupun selepas penubuhan Malaysia.

“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Malaysia United Kingdom 1963 tidak memberikan hak milik ke atas mana-mana tanah yang terkandung dalam pelantar benua dalam sempadan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu Kerajaan Persekutuan tiada hak milik ke atas dasar laut dan lapisan bawah tanah Sarawak atau pelantar benua Sarawak, kerana ia hanya diberikan kepada Negeri Sarawak berdasarkan undang-undang,” jelasnya semasa ucapan penggulungan beliau dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Akta Pindaan Pelantar Benua 2009 secara jelas melindungi hak wilayah ini ke atas dasar laut dan lapisan bawah tanah dalam sempadan negeri, menyelaraskan perundangan persekutuan dengan kedaulatan Sarawak.

“Tiada sesiapa yang berhak untuk mempersoalkan hak-hak yang tidak boleh dipindah milik Sarawak ke atas pelantar benua dalam sempadannya.

“Melakukan demikian bukan sahaja bertentangan dengan MA63, malah ia juga akan melanggar Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau lagi.

Perkara ini sekaligus membolehkan Sarawak membuat semua tuntutan terhadap semua sumber minyak dan gas dalam wilayah ini berasaskan perundangan ini, yang diamalkan sejak zaman pemerintahan kolonial British dan selepas kemerdekaan. -EDISI UKAS