KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kini sedang melaksanakan sejumlah 146 projek Persekutuan di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2.26 bilion.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah tersebut, tiga projek telah berjaya disiapkan, 20 projek dalam fasa pembinaan, manakala 123 projek lagi masih di peringkat pra-kontrak.
“Projek-projek ini merangkumi pelbagai sektor pembangunan infrastruktur di seluruh Sarawak, dengan matlamat utama untuk meningkatkan kemudahan awam, memajukan kemudahan asas dan memperbaiki taraf hidup rakyat di wilayah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Katanya, sejak diberikan kuasa untuk melaksanakan projek-projek Persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah, JKR Sarawak terus komited melaksanakan tanggungjawab berkenaan demi memastikan pembangunan infrastruktur di wilayah ini berjalan lancar dan memberi manfaat besar kepada rakyat Bumi Kenyalang.-EDISI UKAS