KUCHING: Sebanyak 234 daripada 712 Projek Rakyat telah siap sepenuhnya setakat ini, manakala 478 lagi projek masih dalam pelbagai proses perlaksanaannya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, kesemua 712 projek ini melibatkan dana sebanyak RM9.5 bilion merangkumi kemudahan awam kepada rakyat, jalan perhubungan dan infrastruktur asas.
Menurut beliau, antara projek yang berjaya disiapkan setakat ini ialah projek naik taraf lima bulatan di Kota Samarahan, Projek Tukun Tiruan Fasa 1, pembinaan bangunan Pertubuhan Peladang Sarawak, projek mitigasi banjir dan saliran di Taman Ecopark di Miri, Jambatan Marudi, projek naik taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 2, peluasan Kampung Sundar Fasa 2, naik taraf jalan, saliran dan lot kediaman di Skim Peluasan Kampung Igan dan pembangunan Peace Park di Sri Aman.
"Manakala empat lagi Projek Rakyat dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun hadapan.
"Empat lagi Projek Rakyat dijangka siap iaitu, Skim Peluasan Kampung Jelutong di Jepak, pembinaan jalan di Kampung Medong, Lebrasau, Kampung Klid di Dalat, pemindahan dan pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo dan Skim Peluasan Kampung Hulu Kabong menjelang 2025,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II itu menambah, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan projek-projek baharu yang telah dikenalpasti iaitu penurapan Jalan Ulu Tinjar, pembangunan kemudahan awam di Pusat Pentadbiran Bersepadu Mulu, ekosistem Inovasi Digital Sarawak, penurapan Jalan Long Teran Kanan.
"Ini termasuk pembinaan Jambatan Sungai Tinjar ke Long Teran Batu dan Long Teran Kiri, saluran paip khas dari Takungan Berawan ke Stesen Peningkat Tekanan Lubok Tuan, peluasan kampung bersepadu di Matang Batu 10 dan Sungai Maong Fasa 1 dan pembinaan jambatan Penakub Ulu di Mukah," katanya.-EDISI UKAS