KUCHING: Sarawak berhasrat untuk menjadi pemain utama dalam industri aeroangkasa Malaysia sejajar dengan potensi besar yang ditawarkan di rantau Asia Pasifik.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak mampu merebut peluang dalam pasaran penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa Asia Pasifik yang diunjurkan bernilai RM15 trilion dalam tempoh 20 tahun akan datang.
“Rancangan untuk membina lapangan terbang baharu di Kuching akan menyediakan infrastruktur moden yang mampu memacu pembangunan dan pengembangan industri aeroangkasa di Sarawak.
“Ini selaras dengan cadangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menjadikan Sarawak sebagai hab aeroangkasa di Borneo, sekaligus memperkukuh strategi pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya semasa ucapan penggulungan bagi kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menambah, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah strategik untuk mewujudkan ekosistem yang mampan dan menyokong sektor penerbangan dan aeroangkasa.
Katanya, antara langkah yang dilaksanakan adalah dengan menubuhkan Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) untuk melatih tenaga kerja tempatan dengan kepakaran dalam teknologi aeroangkasa dan penerbangan. -EDISI UKAS