KUCHING: Seluas 1,168,123 hektar atau 2,886,432 ekar tanah berjaya diukur secara perimeter melalui Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu dari tahun 2010 sehingga 31 Oktober 2024.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu, seluas lebih kurang 924,596 hektar atau 2,284,677 ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Menurutnya, kerja-kerja pengukuran ini adalah berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat.
"Bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini, penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan, menanda sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulung bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menambah, pengukuran perimeter tanah NCR Inisiatif Baharu yang melibatkan kawasan sempadan antarabangsa Malaysia dan Brunei Darussalam perlu disemak secara teliti.
Ini kerana tegas beliau, proses penentuan sempadan antarabangsa di sebahagian kawasan tersebut belum lagi dimuktamadkan.-EDISI UKAS