TTPRS Perintah MD Reality & Development Sdn. Bhd. Selesai LAD Dalam Masa 45 Hari 

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Mahkamah Tribunal Tuntutan Pembelian Rumah Sarawak (TTPRS) memerintahkan MD Reality & Development Sdn. Bhd. untuk menjelaskan lima kes Denda Lewat Penyerahan Rumah (LAD) berjumlah RM 101,598.72 kepada pembeli. 

Presiden TTPRS Dato Maznah Dasmi berkata, tuntutan itu perlu dilangsaikan dalam tempoh 45 hari bermula hari ini.

"Pemaju perlu melangsaikan pembayaran tersebut kepada pembeli dalam tempoh 45 hari selepas menerima surat daripada mahkamah.

"Sekiranya gagal menjelaskan denda, penalti berat akan dikenakan," tegasnya dalam satu sidang media selepas Sesi Pendengaran Kes TTPRS di Mahkamah TTPRS di Wisma Sultan Tengah di sini pada Khamis. 

Pendengaran kes terbabit dipengerusikan oleh Dato Maznah serta dua Ahli Panel iaitu Dato Alhadi Ibrahim dan Lam Joon Onn, Donald. 

Jelasnya lagi, pihaknya banyak menerima kes lewat menyerahkan rumah terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu.

“Pada ketika itu, banyak pemaju yang mengalami kesulitan kewangan dan juga kekurangan pekerja untuk menyiapkan rumah.

“Malangnya lagi apabila rumah yang siap dibina, barang-barang dalam rumah tersebut hilang dicuri orang sehinggakan mangkuk tandas pun dicuri.

“Jadi masalah-masalah seperti ini, pemaju terpaksa menggantikan balik kehilangan tersebut,” ujarnya. 

Namun demikian, pihaknya memahami kesulitan yang dialami pemaju tetapi pemaju harus menghormati perjanjian yang telah dimeterai bersama pembeli.-EDISI UKAS