KUCHING: Sarawak memperkenalkan pendekatan baharu dalam pengurusan hutan dengan memberi tumpuan terhadap aktiviti karbon hutan bertujuan untuk memelihara dan memulihara kawasan hutan yang telah dibalak serta hutan terdegradasi.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif ini bakal menghasilkan kredit karbon yang boleh didagangkan, memberikan sumber pendapatan baharu kepada negeri ini.
“Setakat November 2024, Sarawak telah mengeluarkan satu lesen karbon dan tujuh permit kajian karbon hutan dengan keluasan 183,625 hektar,” katanya semasa menggulung perbahasan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, bagi memantapkan pengurusan karbon hutan di negeri ini, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan National University Corporation Kyushu University, Jepun pada 23 Julai 2024.
“Kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan penyelidikan dan pendidikan dalam menilai fungsi ekosistem hutan, termasuk aktiviti karbon hutan di Sarawak.
“Inisiatif karbon hutan ini tidak hanya memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga memberikan impak positif kepada komuniti setempat melalui peluang pekerjaan dan perdagangan karbon,” jelas beliau.
Tambah beliau, program ini dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama merangkumi kajian karbon hutan, termasuk penglibatan dalam penyelidikan bagi menilai biojisim dalam stok karbon, pengumpulan data lapangan, pengukuran pokok, serta pengambilan sampel tanah.
Manakala, fasa kedua pula akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang penyediaan tapak semaian, penanaman pokok, pengawalseliaan, penandaan sempadan, pengumpulan data, perhutanan tani dan pembangunan infrastruktur ekopelancongan.- EDISI UKAS