KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menunjukkan keprihatinan terhadap hak dan kebajikan pembeli rumah yang terkesan akibat projek perumahan bermasalah termasuk projek yang lewat atau terbengkalai.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, berkata pelbagai langkah telah diambil untuk menangani isu ini walaupun berdepan cabaran besar.
Menurutnya, antara usaha utama termasuk penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP) pada Mac 2023 untuk menyelia, menangani dan memudahkan penyelesaian terhadap projek perumahan swasta yang dikenalpasti bermasalah.
“Setakat ini, sebanyak 649 projek perumahan swasta berlesen sedang berlangsung di Sarawak.
"Daripada jumlah itu, 43 projek melibatkan 4,837 unit telah dikenalpasti sebagai projek sakit oleh jawatankuasa ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, hasil usaha JKTP, sebanyak 16 projek yang melibatkan 3,107 unit rumah telah diselesaikan atau pembinaannya disambung semula yang memberikan manfaat kepada 663 pembeli rumah.
Manakala katanya, 27 projek melibatkan 1,730 unit masih lagi dalam pelbagai peringkat pemantauan dan fasilitasi.
Tegasnya lagi, Kerajaan Sarawak akan terus menangani isu ini demi memastikan pembeli rumah dilindungi dan pemaju bertanggungjawab terhadap projek yang dijalankan.
Menurutnya, sebanyak 348 tuntutan telah difailkan di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dari tahun 2021 hingga November 2024.
Daripada jumlah tersebut, 286 kes berjaya diselesaikan yang melibatkan 97 kes pada tahun 2021, 82 kes pada tahun 2022, 49 kes pada tahun 2023 dan 58 kes pada tahun 2024 (sehingga November).
Kes-kes ini melibatkan kawasan seperti Kuching, Sibu, Sri Aman, Miri, dan Bintulu, manakala 111 kes masih menunggu pendengaran. -EDISI UKAS