Potensi Industri Benih Pacu Betong Ke Arah Hab Pengeluar Makanan

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SPAOH: Perancangan untuk menjadikan Betong sebagai hab pengeluar makanan dan produk makanan utama di Sarawak bakal direalisasikan dengan pengoperasian syarikat Green World Genetics (GWG) yang mula bertapak di bahagian itu sejak tiga tahun lepas.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, syarikat dari Semenanjung Malaysia itu menjalankan perniagaan yang berkaitan penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran benih buah-buahan dan sayur-sayuran tropika berkualiti tinggi di atas plot seluas 27.59 hektar di Simpang Debak.

"Syarikat ini juga memasarkan benih ke seluruh dunia, di Bahagian Betong dan khususnya di Bukit Saban, kita melihat banyak potensi dalam industri pengeluaran benih ini.  

"Pasaran benih berkualiti tinggi juga besar dan benihnya juga agak mahal,” katanya selepas menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM1.1 juta kepada pelbagai organisasi, sekolah dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di sini, pada hari Rabu.

Pada majlis yang sama, Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu turut menyampaikan geran berjumlah RM87,000.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, GWG akan bertindak sebagai syarikat peneraju pembekalan benih selain memberi latihan kepada para petani.

"Kita bercadang untuk menjemput petani kita untuk menjadi petani kontrak di mana mereka akan menjual benih kepada syarikat yang kemudiannya akan diproses dan dibungkus.

"Ini penting untuk pasaran luar, kita akan berkerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk mengenalpasti mereka yang berminat," ujarnya.

Mengenai sama ada petani akan menerima konsep tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, terdapat di kalangan mereka berasa kagum selepas melawat stesen Simpang Debak.

Malah ujarnya, ada di antara mereka telah memulakan pertanian moden dengan hasil yang memberansangkan.-EDISI UKAS