KUCHING: Cadangan penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak kini di peringkat terakhir dan dijangka dibentangkan dalam Kabinet Sarawak pada suku pertama tahun 2025.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, jabatan ini akan menjadi peneraju dalam pembangunan sektor perikanan di negeri ini dengan memberi fokus kepada pemeliharaan sumber perikanan bagi memastikan kelestariannya untuk generasi akan datang.
Selain itu katanya, kerajaan turut merancang untuk meminda Ordinan Perikanan Negeri 2003 (Bab 54) bagi menyediakan pendekatan moden dan menyeluruh dalam pengurusan perikanan serta sumber semula jadi Sarawak.
“Pada masa yang sama, kami sedang merumuskan cadangan pindaan kepada Ordinan Perikanan Negeri, 2003, (Bab 54) untuk menyediakan pendekatan moden dan komprehensif terhadap pengurusan perikanan Sarawak dan sumber aslinya.
“Ini termasuk penyelarasan undang-undang yang berkaitan untuk memastikan pengurusan perikanan yang mampan di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan bagi kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dato Sri Dr Stephen Rundi turut menggariskan lima inisiatif utama pemeliharaan sumber marin yang sedang dilaksanakan pada tahun 2024 iaitu Penempatan Tukun Tiruan, Pendekatan Ekologi untuk Pengurusan Perikanan (EAFM), Penubuhan Refugia Perikanan, Pemantauan Bersama dan Penggunaan Teknologi Pemantauan.
Mengenai permohonan lesen kapal baru bagi Zon A, B dan C, jelasnya ia telah dibekukan sejak 1982 untuk mengawal eksploitasi berlebihan terhadap sumber marin.
Langkah-langkah ini tambahnya adalah komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pengurusan perikanan yang mampan dan selaras dengan usaha pemeliharaan sumber marin negeri.-EDISI UKAS