MA63: Kerajaan Sarawak Terus Perjuang Tuntutan Yang Belum Tercapai

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaaan Sarawak terus memperjuangkan segala tuntutan yang belum tercapai seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada Kerajaan Persekutuan.

Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali berkata, terdapat beberapa perkara yang masih dalam proses perbincangan bersama pihak kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan oleh kerajaan Sarawak.

“Hal-hal seperti ini masih lagi sama ada melibatkan isu-isu perundangan dan pentadbiran dan sebagainya.

“Alhamdulillah, kerajaan Persekutuan mendengar tuntutan tersebut dan perkara kita akan teruskan laksanakan serta dipergiatkan untuk kerajaan Persekutuan mendengar pandangan daripada pihak kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.

Ujarnya, kunjungan beliau pada hari ini bagi mendengar pandangan daripada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi sendiri yang menjadi asas kepada tuntutan hak MA63 ketika beliau menjadi Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Datu Saferi menambah, kejayaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan sebahagian hak Sarawak yang terhakis ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) merupakan antara sumbangan paling signifikan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.

“Jadi kita akan meneruskan hal berkaitan kuasa dari sudut negeri dan persekutuan yang perlu dikembalikan di mana kerajaan negeri akan tuntut semula.

“Perjuangan untuk mengembalikan hak negeri masih berjalan dan itu akan diperhalusi dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermakna akan ada Menteri-Menteri Sarawak yang akan menjawab persoalan yang timbul,” tambah beliau. -EDISI UKAS