Sarawak Sasar 5 Juta Pengunjung Pada 2025

Disiarkan pada 19 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Sarawak optimis mencapai sasaran seramai 5 juta pengunjung pada tahun 2025 selaras dengan pemulihan penuh sektor pelancongan yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sasaran tersebut akan turut menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM12.73 bilion seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak dalam Belanjawan Sarawak 2025 .

“Seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak dalam ucapan Belanjawan 2025, sasaran ini adalah sejajar dengan usaha kami untuk memastikan sektor pelancongan pulih sepenuhnya menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Dato Sri Abdul Karim menambah, Sarawak telah mencatatkan seramai 3.98 juta pengunjung dari Januari hingga Oktober 2024, meningkat 25.03 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 yang merekodkan 3.18 juta pengunjung.

“Sasaran awal kementerian bagi 2024 adalah 4 juta pengunjung. Namun, saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Sarawak berjaya mencapai 4.08 juta pengunjung pada 15 November 2024,” tambah beliau.

Katanya lagi, pelbagai acara bertaraf antarabangsa, acara pelancongan peringkat kebangsaan, persidangan dan mesyuarat telah menyumbang kepada pertumbuhan mendadak jumlah pelancong ke Sarawak.-EDISI UKAS