KUCHING: Perjanjian Jual Beli (SPA) bagi pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings dijangka dimeterai selewat-lewatnya pada 31 Disember 2024.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Kerajaan Sarawak menerusi kementeriannya terus mengambil langkah strategik untuk memperkukuhkan sektor penerbangan dengan perjanjian antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) bagi merealisasikan perkara itu.
“Setelah SPA ditandatangani, proses pemindahan hak milik MASwings daripada MAG kepada Kerajaan Sarawak dijangka mengambil masa enam hingga sembilan bulan, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dalam tempoh peralihan itu katanya, MASwings akan terus mengendalikan perkhidmatan penerbangan luar bandar (RAS) dan memohon lesen serta kelulusan yang diperlukan untuk meluaskan operasinya ke peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kerajaan negeri bercadang menjadikan MASwings sebagai syarikat penerbangan serantau yang beroperasi dalam jarak penerbangan empat hingga tujuh jam.
“Ini bertujuan menjadikan Sarawak sebagai pintu masuk utama perjalanan udara serantau serta meningkatkan profil negeri ini sebagai destinasi antarabangsa yang mampu menarik pelaburan asing,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Lee memaklumkan bahawa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah memperuntukkan RM95 juta menerusi belanja modal (CAPEX) tahunan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).
Beliau turut menyatakan kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan untuk cadangan membina lapangan terbang baharu di Kuching.
“Projek ini bertujuan menyediakan kapasiti sehingga 15 juta penumpang setahun, sekali gus menjadikan Kuching hab penerbangan serantau bertaraf dunia dan mengatasi kekangan kapasiti semasa.
“Langkah-langkah ini dijangka memacu pertumbuhan pesat sektor penerbangan Sarawak dan menyokong aspirasi negeri ke arah ekonomi lebih kompetitif,” tambah beliau.-EDISI UKAS