Kerajaan Sarawak Luluskan Projek Perumahan Libatkan 231 Unit Rumah Di Sebuyau

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan projek perumahan yang akan dilaksanakan pembinaannya di sekitar Masjid Al Muflihin di Sebuyau.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) akan melaksanakan pembinaan projek perumahan yang melibatkan 231 unit rumah tersebut.

"Kerajaan Sarawak telah meluluskan untuk membina kawasan perumahan yang melibat 231 unit rumah di sekitar Masjid Al Muflihin.

"Rumah contoh telah siap dan pihak LCDA akan mula membina fasa pertama pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menambah, pembinaan dan pembesaran Bandar Baharu Sebuyau juga kini dipergiatkan termasuk tapak pembinaan pasar baharu di Sebuyau yang telah dikenal pasti dan pembangunannnya dijangka bermula tidak lama lagi.

Selain itu, beliau memaklumkan, kerajaan Sarawak juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi projek penanaman semula kelapa di Sebuyau di bawah Agensi Pembangunan Samarahan Serantau Bersepadu (IRSDA) .

"Kawasan Sebangan menuju ke kawasan Simunjan adalah kawasan yang sesuai untuk menanam semula kelapa dan kita telah mengenal pasti kawasan dan kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM35 juta baru-baru ini," jelasnya.

Projek tersebut bakal bermula tahun ini yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa 'Agro Research Lab' dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Dalam pada itu, kehadiran beliau di Astana Negeri Sarawak juga bagi menyampaikan jemputan kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi untuk menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr)Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang turut dijangka hadir bagi menyerikan majlis tersebut. -EDISI UKAS