Pentingnya Kesinambungan Kepimpinan Dalam Perkhidmatan Awam Sarawak

Disiarkan pada 19 Nov 2024
Sumber Berita: Ukas


KUCHING: Hubungan baik yang terus terjalin di antara pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak yang telah bersara dengan penjawat awam yang masih berkhidmat mencerminkan betapa pentingnya kesinambungan kepimpinan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS).

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, persaraan bukanlah pengakhiran, tetapi satu peralihan yang penting untuk memberi peluang kepada generasi muda mengambil alih tanggungjawab dengan penuh semangat, dedikasi dan daya saing dalam menjalankan tugas mereka demi kemajuan Sarawak.

Menurut beliau, dengan adanya generasi baharu yang berperanan aktif dalam perkhidmatan awam, Sarawak berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat dan visi masa depan.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada mereka yang telah bersara ini kerana dapat menjadi idola dan contoh kepada rakan-rakan sejawat yang masih berkhidmat.

"Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita semua pasti akan melalui fasa bersara, disebabkan pada usia tertentu, kita memberi peluang kepada mereka yang lebih muda untuk mengambil alih tanggungjawab kita.

"Apa yang lebih penting ialah pengalaman dan ilmu yang telah ditunjukkan oleh mereka yang telah bersara dapat terus memberi manfaat kepada kita yang masih berkhidmat,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sekalung Budi Perkhidmatan Awam Sarawak yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bertempat di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.

Dalam majlis itu, seramai 12 pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak yang bersara pada 2023 dan 2024 diraikan.

Antaranya ialah mantan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Edwin Abit, mantan Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia Datu Ismail Mohamad Hanis, mantan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sarawak Datu Ir. Lau Hieng Ung, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datu Azmi Bujang serta mantan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Alexander Unya Ambon.

Turut diraikan ialah mantan Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain Datu Jack Aman Luat, mantan Residen Pentadbiran Bahagian Miri Jamalie Busri, mantan Pegawai Daerah Marudi Belayong Pok, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato' Alice Jawan Empaling, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Noriah Ahmad, mantan Pegawai Daerah Pantu Langgong Wasam dan bekas Pegawai Daerah Pusa Bujang Ladi.

Dalam majlis sama, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menemani Datuk Patinggi Abang Zohari menyampaikan cenderamata kepada kesemua pegawai bersara tersebut.

Turut serta ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawam Dato Sri Roland Sagah Wee Inn serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Majlis penuh bermakna itu juga dihadiri Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta Ketua-ketua jabatan yang lain. -EDISI UKAS