SIMUNJAN: Majlis Daerah Simunjan (MDS) telah menganjurkan Program Kempen Basmi Infestasi Tikus bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya tikus terhadap kesihatan awam.
Setiausaha MDS, Oldrige Ripat Eric berkata kempen ini bertujuan mendidik masyarakat tentang langkah pencegahan pembiakan tikus dan kepentingan menjaga kebersihan kawasan sekitar.
“Tikus bukan sahaja merosakkan harta benda tetapi juga membawa penyakit serius seperti leptospirosis (kencing tikus) yang boleh mengakibatkan kematian. Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, terdapat peningkatan indeks tikus terutama di kawasan premis makanan dan pasar tamu, terutamanya di longkang,” katanya semasa berucap dalam majlis itu di Dewan Setia Simunjan pada Isnin.
Dalam pada itu, Oldrige Ripat turut menegaskan bahawa program gotong-royong ini memberi peluang kepada penduduk untuk bersama-sama membanteras pembiakan tikus secara berkesan.
Katanya, sebagai langkah tambahan, pihak MDS turut menyumbangkan “Rat Bat Station” kepada peniaga premis makanan di bawah seliaan MDS.
Sumbangan ini bertujuan membantu para peniaga memastikan premis mereka bebas tikus dan makanan yang disediakan adalah selamat untuk pengguna.
Untuk itu, beliau berharap agar program ini dapat dijalankan secara berterusan di Pekan Simunjan dengan sokongan semua pihak, termasuk peniaga dan masyarakat setempat.
Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Simunjan, Dr. Nur Azimah Azman, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Ketua Unit Perkhidmatan Bandar, Claudius Ravi Kaniasen serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti, Kr Rosita Poni.-EDISI UKAS