Operasi Rintis Penguatkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS
 


KUCHING: Operasi rintis bagi penguatkuasaan bersepadu Rabies di Sarawak akan bermula di Kuching dari 29 April hingga 3 Mei depan. 

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik berkata, usaha memerangi wabak Rabies di Sarawak perlu diberi perhatian bagi mencapai sasaran sifar Rabies menjelang 2030. 

Sehubungan dengan itu, kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bersama agensi-agensi terlibat akan memulakan operasi rintis di sekitar kawasan Kuching untuk mengenalpasti anjing peliharaan yang belum mendapatkan vaksin dan lesen. 

“Sebab utama kita melaksanakan operasi rintis ini di Kuching adalah untuk menghapuskan terus wabak Rabies di Sarawak sekaligus mencapai sasaran sifar Rabies menjelang tahun 2030,” jelas beliau. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Taklimat Persediaan Operasi Pengutkuasaan Bersepadu Rabies Sarawak di Wisma SABATI di sini pada Khamis. 

Datu Buckland yang juga Timbalan Pengerusi JPBNS memberitahu, operasi rintis ini akan menjadi penanda aras kepada operasi-operasi bersepadu yang dijangka diadakan di seluruh daerah Sarawak pada masa yang akan datang. 

“Apabila kita menyentuh dengan operasi rintis, maksudnya kita perlu melakukan yang terbaik. 

“Dari operasi ini, kita akan membuat satu ‘post mortem’ untuk menilai kelemahan yang perlu dipertingkatkan seterusnya membuat keputusan sama ada kita boleh mengembangkan operasi ini ke daerah-daerah lain seluruh Sarawak,” jelas beliau lagi. 

Dalam sesi taklimat tersebut, beliau turut menasihati agensi-agensi terlibat untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi mengelakkan perbalahan sesama sendiri pada hari perlaksanaan operasi itu nanti. 

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Nicholas Jenek, Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Raphael Engkayau serta pegawai-pegawai kerajaan yang lain. -EDISI UKAS