Kaedah Dokumentasi Pengukuran Tanah DBNA Diguna Ukur 714 Lot Pertanian Di Kampung Taee

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


TEBEDU: Kaedah dokumentasi pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dari Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) akan digunakan bagi kerja-kerja mengukur sebanyak 714 lot pertanian di Kampung Taee di sini bermula pada 6 Mei depan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada memberitahu, kerja-kerja pengukuran tanah NCR ini akan merangkumi dua fasa yang melibatkan keluasan seluas 162,000 hektar pada fasa pertama dan 513,038 pada fasa kedua. 

“Projek dokumentasi tanah NCR yang diinisiatifkan oleh DBNA sememangnya mempercepatkan proses kerja penyukatan lot kediaman dan lot pertanian serta mampu menyelesaikan konflik sempadan dan hak milik tanah antara ahli keluarga malah dengan jiran,” jelas beliau. 

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog pengukuran lot pertanian milik individu yang berlangsung di sini pada Rabu. 

Tambah beliau, lot yang sudah diukur itu nanti akan diwartakan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) Sarawak. 

Mengulas mengenai peranan pihak DBNA, Dr Simon mencadangkan agar mereka mengadakan taklimat kepada masyarakat mengenai kepentingan pendokumentasian tanah NCR dalam memberi keterjaminan hak tanah tersebut agar tiada perbalahan berlaku pada masa yang akan datang. 

Bagi memudahkan urusan pengukuran tanah itu nanti, beliau telah meluluskan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Taee yang bertugas membantu kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak melaksanakan kerja lapangan pada 6 Mei depan. 

Hadir sama, Timbalan Presiden DBNA Dr Chali Ungang, Penolong Pentadbir Tanah JTS Bahagian Serian Attin Rimpa, Pemanca Bidayuh Jacques Kantuh dan Pengerusi DBNA Bung Sadong Nicholas Amin. -EDISI UKAS