Suasana Sedih & Pilu Iringi Pengebumian Joanna, Selamat Dikebumikan Di Kampung Engkaroh

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

SERIAN: Suasana sedih dan pilu menyelubungi upacara pengebumian mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia Rhona yang dijalankan mengikut istiadat pengebumian tradisi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh di sini pada Khamis.

Jenazah Joanna selamat dikebumikan pada jam 11.20 pagi dengan dihadiri orang-orang kenamaan, ahli-ahli keluarga, sanak saudara serta warga kampung yang hadir memberi penghormatan buat kali terakhir.

Malah, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesedihan suami mendiang, Hasley Ali dan anak-anaknya serta ahli-ahli keluarga yang mengiringi perjalanan terakhir mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa lepas.

Usai urusan pengebumian, Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin Jeyasekhar Joseph telah menyerahkan bendera TLDM kepada suami mendiang, Hasley Ali.

Hadir sama memberikan penghormatan terakhir kepada ibu kepada dua orang anak itu ialah Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div), Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis,  Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jeam dan Penasihat Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR), Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw. -EDISI UKAS