Sarawak Terima 3,498 Permohonan Pengiktirafan Bumiputera Dalam Tempoh Setahun

Posted on 18 Nov 2024
Source of News: UKAS


KUCHING: Jawatankuasa Pengiktirafan Sebagai Bumiputera Sarawak telah menerima sebanyak 3,498 permohonan untuk diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak bagi tempoh 1 November 2023 hingga 31 Oktober 2024.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, 3,329 permohonan telah diluluskan, 141 permohonan sedang disemak semula, manakala 28 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat kelayakan.

Menurut beliau, syarat utama untuk individu diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak termasuk pemohon mestilah warganegara Malaysia, merupakan anak kandung kepada salah seorang Bumiputera Sarawak dan salah seorang ibu bapa kandungnya mestilah Bumiputera Sarawak.

“Sistem Permohonan Pengiktirafan Bumiputera Sarawak yang dibangunkan telah mula digunakan pada 2 September 2024.

“Sistem ini membolehkan permohonan dilakukan secara dalam talian melalui portal Kerajaan Sarawak.

“Setakat ini, sistem tersebut telah merekodkan sebanyak 370 permohonan secara digital yang mempercepatkan proses kelulusan dan memudahkan pengurusan dokumen,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Dato Sri John Sikie turut menekankan bahawa pindaan kepada Interpretation Ordinance (Amendment) 2022 kini membolehkan anak-anak hasil perkahwinan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak.

Katanya, langkah ini memberikan peluang kepada mereka untuk memohon status tersebut melalui prosedur yang lebih mudah.

Beliau berharap perkembangan ini akan mempercepatkan proses pengiktirafan dan memberi manfaat kepada lebih ramai individu di Sarawak.-EDISI UKAS