Majlis Adat Istiadat Sarawak Perkenal Pendekatan Baharu Dalam Pengajaran Adat

Disiarkan pada 18 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak kini memperkenalkan langkah baharu dalam kajian dan pengajaran ‘Adat’ bagi memastikan ia terus relevan dengan perubahan situasi sosial masa kini.

Menteri di Pejabat Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, berkata pendekatan ini bertujuan menilai semula Adat dan menyusun semula dalam format undang-undang selaras dengan prinsip perundangan Malaysia.

Beliau mengambil contoh Adat Iban Chelap Dapur yang mewajibkan dapur digunakan sekurang-kurangnya sekali sebulan dengan kegagalan dikenakan denda dan upacara ritual.

“Melalui pendekatan baharu, Adat ini akan ditafsir semula sebagai kewajipan pemilik bilik di rumah panjang untuk kembali sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan serta memastikan biliknya sentiasa dalam keadaan baik.

“Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

Dato Sri John Sikie turut menekankan kepentingan menghidupkan semula Adat lama yang telah dilupakan atau tidak diamalkan selama beberapa dekad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menjelaskan antaranya seperti Adat yang memerlukan kebenaran sebelum memasuki, melalui atau menggunakan tanah atau harta milik orang lain.

“Adat seperti ini masih sangat relevan, terutamanya di kawasan Bidayuh yang sering menghadapi isu berkaitan aktiviti rekreasi.

“Saya akan menghuraikan dengan lebih lanjut apabila mengetengahkan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis,” tambahnya.

Ujar beliau, pendekatan baharu ini diharapkan dapat memastikan kesinambungan Adat sebagai asas kebudayaan dan panduan peraturan masyarakat tempatan. – EDISI UKAS