KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak terus berusaha memperkukuh pemahaman dan pengamalan Adat melalui taklimat kepada pelbagai agensi dan organisasi.
Menteri di Pejabat Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, antara pihak yang terlibat ialah Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Jabatan Muzium Sarawak dan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI).
Tambah Dato Sri John Sikie, dialog dan sesi libat urus turut diadakan bersama persatuan serta wakil komuniti Iban dan Bidayuh di luar Sarawak sepanjang tahun ini.
“Bahagian Penyelidikan Bidayuh telah mengadakan taklimat dan sesi dialog mengenai Adat Bidayuh bersama ahli-ahli Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Lembah Klang.
“Antara isu yang dibincangkan termasuk hak warisan harta dan penempatan semula di kampung asal mereka.
“Bagi Bahagian Iban, dialog telah diadakan bersama Persatuan Anak Sarawak dan beberapa persatuan Iban lain di Johor Bahru.
“Sesi ini bertujuan mendapatkan pandangan mereka mengenai Adat belelang, bejalai dan pindah,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut memaklumkan bahawa Majlis juga membantu melatih pegawai pentadbiran di Pejabat Residen dan Daerah mengenai Adat melalui kursus anjuran Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak.
Langkah ini bertujuan memperkukuh pemahaman Adat dalam kalangan masyarakat dan penjawat awam, katanya lanjut.-EDISI UKAS