KUCHING: Sebanyak 3,674 kuarters kerajaan bakal dibina di seluruh Sarawak bagi menampung keperluan perumahan untuk penjawat awam terutamanya di kawasan luar bandar.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, projek-projek tersebut dijangka bermula serentak mengikut fasa dengan pelaksanaan dalam tempoh 24 hingga 48 bulan.
Menurutnya, bagi Daerah Daro dan Daerah Bintulu, projek ‘Service Quarters’ turut dimasukkan dalam senarai keutamaan dan dijangka bermula pada pertengahan tahun 2025.
“Reka bentuk ‘Service Quarters’ adalah berkonsepkan pangsapuri moden yang dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan serbaguna, dobi, surau dan kedai serbaneka untuk kemudahan penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Dato Sri John Sikie berkata, tapak bagi pembinaan Pejabat Daerah Lingga dan Pejabat Daerah Kecil Maludam telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri.
“Kedua-dua projek ini dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025 dan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 24 bulan.
“Agensi pelaksana bagi kedua-dua projek adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak,” katanya. -EDISI UKAS