Pesara Penjawat Awam Sarawak Disaran Terus Beri Sumbangan Dalam Pelbagai Kapasiti

Disiarkan pada 18 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Penjawat awam Sarawak yang telah bersara disaran agar terus memberi sumbangan berharga dalam pelbagai kapasiti dengan memanfaatkan pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan yang diperoleh sepanjang perkhidmatan mereka.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, meskipun tidak lagi aktif dalam tugas rasmi, mereka masih memiliki potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan wilayah ini melalui pelbagai saluran.

Menurutnya, pengalaman yang mereka miliki adalah aset yang tidak ternilai dan ia dapat terus memberi impak positif kepada masyarakat serta memperkukuh usaha bersama untuk mencapai kemajuan yang lebih gemilang bagi Sarawak.

"Saya percaya bahawa mereka yang telah bersara ini telah merasai manfaat daripada kerja yang telah dilaksanakan, kerana impaknya yang besar dalam kehidupan kita semua.

"Kita bersama-sama mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang.

"Bagi pihak Kerajaan Sarawak, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas perkhidmatan yang telah diberikan dan selamat bersara. Semoga anda juga menjadi contoh teladan kepada mereka yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Sekalung Budi Perkhidmatan Awam Sarawak di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.

Pada majlis itu, seramai 12 pegawai-pegawai kanan kerajaan yang bersara pada 2023 dan 2024 diraikan.

Antaranya ialah mantan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Edwin Abit, mantan Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia Datu Ismail Mohamad Hanis, mantan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sarawak Datu Ir. Lau Hieng Ung, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datu Azmi Bujang serta mantan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Alexander Unya Ambon.

Turut diraikan ialah mantan Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain Datu Jack Aman Luat, mantan Residen Pentadbiran Bahagian Miri Jamalie Busri, mantan Pegawai Daerah Marudi Belayong Pok, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato' Alice Jawan Empaling, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Noriah Ahmad, mantan Pegawai Daerah Pantu Langgong Wasam dan bekas Pegawai Daerah Pusa Bujang Ladi.

Datuk Patinggi Abang Zohari turut menyampaikan cenderamata kepada kesemua pegawai bersara tersebut ditemani Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawam Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Hadir sama ialah Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan-timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi Dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, serta Ketua-ketua jabatan yang lain. -Edisi UKAS