KUCHING: Sarawak akan melaksanakan penilaian standard bagi murid-murid Program Dwibahasa (DLP) bermula 2025, khusus untuk murid Tahun 6, dan akan dilanjutkan pada 2028 untuk murid Tingkatan 3.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, objektif utama adalah untuk menilai kemajuan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di bawah program DLP Sarawak.
Menurutnya, kohort pertama murid DLP Sarawak akan mencapai Tahun 6 pada 2025, menjadikannya waktu yang tepat untuk menilai kesan program ini dan membuat sebarang penambahbaikan yang diperlukan.
"Kami amat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah memberi kelulusan untuk melaksanakan penilaian ini.
"Ia bukan sahaja menilai pencapaian akademik murid, tetapi juga membantu mereka bersedia lebih awal untuk peperiksaan besar seperti SPM dengan meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dalam perbahasan sama, Dato Sri Roland Sagah turut memaklumkan bahawa kementeriannya, dengan kerjasama Cambridge University Press and Assessment, institusi pengajian tinggi milik Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) serta sekolah-sekolah swasta di Sarawak, kini sedang membangunkan instrumen penilaian tersebut untuk Tahun 6.
"Cambridge University Press and Assessment menyediakan kepakaran untuk memastikan standard kita sejajar dengan penanda aras antarabangsa.
"Saya menyeru semua pihak berkepentingan termasuk guru, ibu bapa, dan komuniti untuk menyokong inisiatif ini, bagi memastikan kejayaannya dan meningkatkan kualiti pendidikan di Sarawak," tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu.
MEITD katanya juga akan terus bekerjasama dengan JPNS untuk merancang program intervensi DLP yang disesuaikan dan menyediakan sumber tambahan bagi meningkatkan keberkesanan program tersebut.
Setakat ini, seramai 6,545 guru DLP dari Tahun 1 hingga Tahun 5 telah dilatih, bagi memastikan mereka lebih bersedia dalam melaksanakan pengajaran mengikut pendekatan DLP yang ditetapkan.-EDISI UKAS