Sidang Media Khas Diadakan Berkenaan Cadangan Pertukaran Nama DUN Sarawak Tanpa Perkataan Negeri

Disiarkan pada 25 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Satu sidang media khas akan diadakan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bermula 6 Mei depan bagi menjawab cadangan pertukaran nama DUN tanpa perkataan negeri.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, beliau hanya akan memperjelaskan perkara itu dalam sidang media khas berkenaan kelak.

"Siapa yang cakap? Nanti tanya soalan ini pada sidang media khas DUN dan saya akan jawab. Mungkin ia hanyalah perubahan kecil.

"Jika saya beri kenyataan sekarang ia akan menjadi kelam kabut. Apa jua yang ditanya nanti saya akan jawab," katanya ketika ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Petronas di Hilton Kuching pada malam Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut enggan mengulas lanjut dan menyatakan akan mengadakan satu sidang media khas berhubung perkara tersebut selepas Hari Buruh (1 Mei) ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, adalah wajar perkataan 'negeri' ditiadakan bila merujuk kepada DUN iaitu DUN negeri ditukar kepada Dewan Undangan Sarawak.

Jelas Datuk Sharifah Hasidah, ini sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana Sarawak kini sebuah wilayah, bukan negeri dan pentadbiran juga perlu dikenali sebagai 'kerajaan Sarawak' bukan 'kerajaan negeri Sarawak. -EDISI UKAS