KEMAS Tingkat Kesedaran Kesihatan Masyarakat Betong

Disiarkan pada 17 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


BETONG: Program 'Jom Sihat KEMAS Fit Desa Cergas' yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat luar bandar, khususnya penduduk di konstituensi ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, program ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Menurutnya, penduduk setempat termasuk kakitangan KEMAS selaku ejen penggerak masyarakat luar bandar dalam menjaga kesihatan fizikal dan mental, berpeluang untuk mengenal pasti masalah kesihatan mereka sejak awal, sekaligus mengambil tindakan pencegahan yang lebih berkesan.

"Kesihatan yang baik adalah asas kepada kesejahteraan hidup dan produktiviti kerja.

"Sebagai jabatan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan masyarakat, kakitangan KEMAS berjaya menjadi contoh dalam mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan program tersebut yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Serembang, Spaoh pada Sabtu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu dalam ucapannya turut memaklumkan bahawa kerajaan telah mengisytiharkan perang terhadap pengunaan gula pasir dengan mengambil langkah menarik semula subsidi gula bagi menangani penyakit diabetis dan lain-lain.

"Berdasarkan kajian, ramai anak-anak ketinggiannya terbantut dan obesiti disebabkan tiada penjagaan pemakanan yang teratur diberikan oleh ibu bapa terutamanya apabila mereka bekerja," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk setempat agar meningkatkan penjagaan kesihatan dan pemakanan, serta berhenti merokok sebagai usaha untuk mencegah penyakit yang tidak diingini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarah KEMAS Sarawak Anisah Saidin, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Betong Hamden Katang, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Debak Dalcia Cheria Allen, Pegawai Kesihatan Daerah Kecil Spaoh Dr. Mohd Nazri Shamsudin, Pegawai KEMAS Daerah Saratok Latif Amit, Pegawai KEMAS Bahagian Betong Jefry Lana, Temenggong Piee Alwi dan Ketua Kampung Serembang Kawi Dollah.-Edisi UKAS