GEDONG: Seramai 108 orang pelajar tingkatan lima yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong telah diraikan dalam majlis graduasi pelajar SPM tahun 2024 pada Sabtu.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, majlis graduasi ini adalah permulaan perjalanan hidup kepada semua pelajar ke arah kemajuan kendiri dengan menjadikan ilmu yang diperoleh sebagai bekal menghadapi cabaran mendatang dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat khususnya di Gedong.
“Dalam era Malaysia Madani, kembangkan potensi diri, jadi pemimpin kepada diri sendiri, keluarga, dan masyarakat. Rebut peluang yang ada, sama ada dalam pendidikan, latihan vokasional, atau keusahawanan.
“Kawasan Batang Sadong kini berpotensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, pertanian moden, dan ekonomi digital,” katanya.
Dalam pada itu, Rodiyah menambah, Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam menyokong pendidikan generasi muda melalui pelbagai insentif dan bantuan yang disalurkan.
Ujarnya, antaranya ialah Biasiswa Yayasan Sarawak dan pinjaman pendidikan tanpa faedah untuk pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Selain itu katanya, terdapat juga Skim Bantuan Yuran Pengajian bagi pelajar yang kurang berkemampuan untuk mengikut pengajian di IPT dan IPTS turut diberikan kepada mereka yang layak.
Tambah Rodiyah, menerusi Belanjawan Sarawak 2025 yang telah dibentangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini, beberapa inisiatif penting telah diumumkan.
“Antaranya bantuan kewangan berbentuk wang saku sebanyak RM1,200 setahun akan disalurkan kepada pelajar kelahiran Sarawak yang layak, khususnya mereka dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1,500.
“Pelajar juga akan menerima baucer buku bernilai RM500 di samping pemberian komputer riba di mana jumlah akan ditingkatkan kepada 10,000 unit, berbanding hanya 5,000 pada tahun sebelumnya, khusus untuk pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPT dan IPTS.
“Tidak ketinggalan, diskaun 30% bagi pembayaran balik pinjaman PTPTN turut disediakan, dengan anggaran peruntukan sebanyak RM15 juta,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan Hasbi Anceh; Pengetua SMK Gedong Hamdan Bujang; Timbalan Sektor Pembelajaran PPD Simunjan Hamsiah Lazim; YDP PIBG SMK Gedong Musa Ahmad; Pegawai Perhubungan Sekolah Daerah Simunjan, IPD Simunjan Inspektor Brawczyk Buor Sangan;Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Gedong Rajali Akup. -EDISI UKAS