Kerajaan Sarawak Berhasrat Wujud Bandar Lestari, Jaga Ekosistem Sarawak

Disiarkan pada 16 Nov 2024
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mewujudkan bandar lestari dalam usaha menjaga ekosistem di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, meletakkan pengurusan alam sekitar mampan dalam perspektif pembangunan sangat penting sebagai 'green lung'menjayakan misi mewujudkan bandar lestari.

“Mengenai Sarawak Forest Corporation (SFC) ini kita tahu kita nak bangunkan Taman Negara sehingga 1 juta hektar dan keduanya kita ada Sarawak Delta yang kita nak bangunkan.

“Jadi ketiganya kita nak bangunkan bandar kita yang lestari, bermaksud hutan simpan di bandar harus diuruskan dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Sekalung Budi, Tautan Kasih dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Sarawak Forestry Corporation pada Jumaat.

Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut mengumumkan bangunan baharu SFC dengan nama ‘Wisma Lestari’, sempena dengan misi Kerajaan Sarawak untuk membangunkan bandar lestari.

Beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara SFC, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pusat Bidioversity Sarawak (SBC).

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman bin Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran dan ketua-ketua jabatan.-EDISI UKAS